Sabtu, 13 September 2014

Mengenali golongan munafik

Mari kita mengenali golongan munafik, semoga kita jauh dari sifat yang sangat bahaya kepada diri kita.

Ditulis Oleh: Mohd Shahrizal Nasir
Dipetik dari blog : http://ikanlepu.blogspot.com/

Ulama mengkelaskan golongan munafik kepada dua keadaan;

i) Munafik I’tiqadi, iaitu segala yang berkaitan dengan kepercayaan dalam hati. Mereka terdiri daripada golongan yang hanya beriman kepada Allah secara luaran sahaja.
Hakikatnya mereka ragu dengan kebenaran Islam dan keesaan Allah. Mereka hanya berlakon di khalayak ramai, tetapi mendustakan agama Allah yang dibawa oleh Rasul-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami sudah beriman kepada Allah dan hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.” - Surah al-Baqarah, ayat 8

Pada hakikatnya, golongan itu sudah terkeluar daripada Islam kerana niat di hati tetap memainkan peranan penting dalam soal akidah dan dikira sebagai penentu hakiki keimanan seseorang di sisi Allah swt. Golongan itu akan dimasukkan ke tingkatan neraka paling bawah. Sesuai dengan penipuan dan kezaliman dilakukan terhadap diri mereka sendiri.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan terkebawah sekali dari (lapisan dalam) neraka.” - Surah an-Nisa’, ayat 145




ii) Munafik‘Amali, iaitu segala yang berkaitan perbuatan. Rasulullah saw menjelaskan dalam sabda yang bermaksud: “Tanda orang munafik itu ada tiga; apabila berkata ia berdusta, dan apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat.” - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik yang jelas. Sesiapa melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik hingga dia meninggalkannya, iaitu apabila dipercayai dia khianat, apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkir dan apabila bertengkar dia mengenepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” - Hadis riwayat Bukhari

Jelaslah bahawa ada perbuatan tertentu yang jika dilakukan, maka ia termasuk dalam golongan munafik. Sebagai manusia yang secara fitrahnya tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan, sudah tentu saban hari kita tidak terlepas daripada menuturkan kata-kata, membuat janji dan memikul amanah.

Persoalannya, adakah kita melakukan perbuatan itu dengan cara yang betul dan menurut kehendak Islam? Ataupun kita lakukan perbuatan tersebut mengikut cara orang munafik melakukannya?

Persoalan itu hanya mampu dijawab dengan jawapan positif bagi mereka yang memiliki iman kukuh dalam diri. Walaupun jika dilihat secara rambang, kesemua perbuatan itu tidaklah sebesar dosa membunuh, berzina, mencuri atau minum arak, tetapi apabila melakukannya sudah cukup untuk melayakkan diri seseorang untuk menerima azab seksa-Nya di akhirat kelak.

Sebagai Muslim yang berusaha untuk menjadi hamba dengan keredaan Allah, tidak boleh tidak kesemua sifat dan perbuatan yang melambangkan perbuatan munafik mestilah dihindari untuk menyelamatkan diri daripada menerima kemurkaan Allah.

Antara lain, dengan muhasabah diri kerana dengan itu kita akan lebih berwaspada terhadap setiap tingkah laku dan gerak-geri. Dengan bermuhasabah membolehkan kita memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri. Kadang-kadang kita tidak sedar tentang sesuatu perbuatan yang melampaui batasan agama. Muhasabah mampu menyedarkan seseorang mengenai perbuatan yang dilakukan dan mempercayai bahawa setiap amalan tidak akan terlepas daripada timbangan neraca Allah di akhirat kelak.

Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya).” - Surah az-Zalzalah, ayat 7-8

Saidina Umar al-Khattab pula pernah berkata yang maksudnya: “Hisablah (nilai) diri kamu, sebelum kamu dihisab (pada hari akhirat kelak).”

Selain bermuhasabah yang bergantung seratus peratus pada usaha sendiri, sebagai Muslim yang mencintai saudaranya, amalan saling memberi nasihat dan teguran juga boleh menghindarkan diri daripada sifat munafik yang tercela itu.

Ada kala perbuatan kita di luar kawalan atau tanpa kita sedari. Justeru, peranan orang di sekeliling yang menyedari akan hal itu akan dapat membantu kita daripada terus hanyut dibawa arus pembohongan, pendustaan dan pengkhianatan atau pecah amanah.
Sesungguhnya, amalan memberi nasihat dan teguran inilah yang menjadi tuntutan Islam, sesuai sabda Baginda saw yang bermaksud: “Agama itu nasihat.” - Hadis riwayat Muslim

Allah juga mengingatkan pentingnya kita agar sentiasa memberi peringatan yang akan membawa kebaikan kepada ummah secara keseluruhannya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.” - Surah az-Dzariyat, ayat 55

Marilah sama-sama kita berusaha agar sentiasa menjauhi sifat golongan munafik. Jangan jadikan pembohongan, mungkir janji dan khianat atau pecah amanah dan gemar bertengkar sehingga mengenepikan kebenaran sebagai satu kebiasaan tanpa sedikit pun ada rasa bersalah dan takut akan azab yang bakal menunggu mereka yang tidak menyesali akan segala perbuatan jahat yang telah dilakukan.

Iltizam yang kuat dalam diri di samping bantuan sesama Muslim penting bagi memelihara diri daripada sifat munafik itu. Ia sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang menerapkan semangat kasih sayang sesama Muslim supaya orang Islam sentiasa berada dalam rahmat dan keredaan Allah.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya, seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri.” - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan